Penyakit RSV atau Respiratory Syncytial Virus adalah jangkitan virus yang menjejaskan saluran pernafasan, terutamanya pada bayi dan kanak-kanak kecil.
Walaupun jangkitan RSV secara amnya ringan dan menyerupai selesema biasa pada orang dewasa yang sihat, ia boleh membawa kepada komplikasi yang teruk pada bayi, terutamanya bayi yang berumur di bawah satu tahun.
Dalam artikel ini kami kongsikan panduan tentang penyakit RSV, punca jangkitan RSV, simptom RSV pada bayi dan rawatan anak RSV yang berkesan.
Definisi Penyakit RSV
Kenali Apa Itu Virus RSV
Bagi anda yang kurang pengetahuan tentang apa itu virus RSV, ia adalah golongan virus yang dipanggil Paramyxoviridae dan boleh berjangkit.
Virus RSV boleh merebak melalui rembesan pernafasan apabila orang yang dijangkiti mengalami batuk atau bersin, atau menyentuh permukaan tercemar dengan virus.
Pada orang dewasa yang sihat dan kanak-kanak yang lebih tua, RSV biasanya menyebabkan simptom ringan seperti selsema seperti batuk, bersin, hidung berair dan demam.
Walau bagaimanapun, pada bayi, terutamanya mereka yang dilahirkan pramatang atau dengan masalah kesihatan, virus RSV boleh membawa kepada penyakit pernafasan lebih teruk seperti bronchiolitis (keradangan saluran udara kecil di dalam paru-paru) dan radang paru-paru.
Punca Jangkitan RSV
Jangkitan RSV sangat mudah merebak dan boleh berlaku melalui pelbagai cara. Cara-cara penularan yang paling biasa termasuklah:
-
Sentuhan Langsung: Penyakit RSV ini boleh merebak melalui sentuhan langsung dengan pernafasan orang yang dijangkiti, seperti air liur atau hingus. Ini boleh berlaku apabila seseorang yang dijangkiti bersin, batuk, atau menyentuh muka mereka, lalu bersentuhan dengan bayi.
-
Sentuhan Tidak Langsung: Virus RSV boleh bertahan di permukaan selama beberapa jam. Jika bayi menyentuh permukaan yang tercemar dan kemudian menyentuh mulut, hidung, atau mata, mereka boleh dijangkiti.
-
Kontak rapat: Berada dekat dengan orang yang dijangkiti, terutamanya di tempat-tempat sesak atau dalam rumah dengan ramai orang, meningkatkan risiko penularan virus RSV.
-
Titisan Respiratori: Jangkitan RSV boleh merebak melalui titisan pernafasan apabila orang yang dijangkiti bercakap, batuk, atau bersin. Titisan ini boleh dihirup oleh individu yang berdekatan, termasuk bayi.
-
Keadaan Perubatan Terdahulu: Bayi dengan keadaan perubatan tertentu, seperti penyakit jantung bawaan atau sistem imun yang lemah, berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan RSV virus yang teruk.
Simptom RSV Pada Bayi
Simptom RSV pada bayi boleh berlaku dari tahap ringan hingga teruk. Berikut beberapa gejala RSV bayi:
- Batuk: Batuk yang berterusan, selalunya disertai dengan bunyi siulan.
- Kesukaran Bernafas: Pernafasan cepat atau sukar (kelihatan dada turun naik semasa bernafas).
- Demam: Kadang-kadang simptom RSV pada bayi disertai dengan kerengsaan atau kelesuan.
- Hidung Berair: Hidung tersumbat dan lelehan.
- Selera Makan Berkurang: Bayi mungkin enggan makan atau mengalami kesukaran menyusu kerana kesukaran bernafas.
- Semput: Bunyi siulan atau bunyi berdecit yang boleh didengar semasa bayi bernafas.
- Bibir atau Kuku Membiru: Dalam kes RSV bayi yang teruk, kekurangan oksigen boleh menyebabkan sianosis (perubahan warna biru) pada bibir atau kuku si manja.
Cara Jangkitan RSV virus
Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pantai Hospital Penang, Dr Hasanah Ishak berkata, RSV virus boleh dijangkiti melalui titisan hingus, air liur bila pesakit bercakap, batuk atau bersin.
Ia juga boleh berjangkit dari permukaan yang dicemari virus atau sentuhan terus seperti mencium bayi yang dijangkiti.
Katanya, sesiapa sahaja boleh dijangkiti virus RSV, tetapi ia boleh menjadi serius pada golongan seperti bayi pramatang dan kanak-kanak yang bermasalah penyakit jantung kongenital, penyakit paru-paru kronik termasuk asma.
“Selain itu, golongan berisiko lain adalah kanak-kanak yang lemah sistem ketahanan badan termasuk yang memerlukan rawatan steroid atau mengalami penyakit lemah otot yang kurang upaya mengeluarkan lendir dari tekak.
Faktor Risiko Virus RSV Bayi
Berikut adalah beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko virus RSV bayi:
- Umur bayi: Bayi di bawah umur satu tahun lebih berisiko dijangkiti penyakit RSV, terutamanya mereka yang berumur kurang daripada enam bulan. Ini kerana sistem imun bayi pada usia ini masih belum matang sepenuhnya, menjadikan mereka lebih terdedah kepada jangkitan virus.
- Pramatang: Bayi yang dilahirkan lebih awal daripada jangkaan (pramatang) berisiko lebih tinggi untuk jangkitan RSV kerana sistem pernafasan mereka mungkin tidak berkembang sepenuhnya.
- Pendedahan kepada asap rokok: Pendedahan bayi kepada asap rokok atau persekitaran merokok boleh meningkatkan risiko dijangkiti penyakit RSV.
- Penyakit kronik: Bayi yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung kongenital atau penyakit pernafasan kronik lebih terdedah kepada jangkitan virus RSV bayi.
Kesan Virus Rsv Bayi
Respiratory Syncytial Virus (RSV) boleh menjadi sangat berbahaya kepada bayi, terutamanya mereka yang baru lahir atau di bawah umur satu tahun.
Berikut adalah beberapa risiko jangkitan RSV virus pada bayi dan kanak-kanak:
- Bronkiolitis: RSV adalah punca utama bronchiolitis, iaitu jangkitan pernafasan yang menyebabkan saluran udara kecil (bronchioles) dalam paru-paru bayi meradang dan tersumbat dengan lendir. Ini boleh menyebabkan kesukaran bernafas, berdehit (bunyi nafas berdengung), dan batuk yang teruk.
- Pneumonia: Virus RSV bayi juga boleh menyebabkan jangkitan paru-paru (pneumonia). Ini adalah keadaan serius yang boleh merosakkan tisu paru-paru dan mengurangkan keupayaan bayi bernafas dengan baik.
- Kemasukan ke hospital: Jangkitan RSV virus pada bayi sering memerlukan rawatan hospital. Bayi yang mengalami kesukaran bernafas atau yang mengalami dehidrasi akibat muntah atau pengurangan pengambilan makanan mungkin memerlukan penjagaan hospital untuk memastikan mereka menerima cecair dan oksigen yang mencukupi.
- Kekurangan Oksigen: Jangkitan RSV virus boleh menyebabkan bayi mengalami kekurangan oksigen (hipoksia), yang boleh memberi kesan serius pada organ dan tisu dalam badan mereka. Tanda-tanda hipoksia termasuk kulit atau bibir bayi menjadi biru atau merah.
- Komplikasi: Virus RSV bayi juga meningkatkan risiko komplikasi serius seperti kegagalan pernafasan, peningkatan kadar denyutan jantung dan penurunan tekanan darah.